Mutiara biru



Di tengah hamparan fabrik ruang-masa ini, adanya kita. Mendiami apa yang dikatakan guli, atau mutiara biru.  Di atasnya setiap insan yang kau pernah cintai, sedang mencintai dan akan cintai. Di atasnya ada setiap insan yang kau pernah kenali, sedang mengenali dan akan mengenali. Di atasnya ada setiap jiwa yang mahu menjadi apa sahaja, berbuat apa sahaja dan memikirkan apa sahaja. Menjalani kehidupan mereka.

Longgokan segala rasa suka dan duka, segala perwira berani dan pembelot kecut, segala pencipta dan pemusnah, segala penakluk dan tertakluk, segala pencinta dan pembenci, segala pasangan muda yang bercinta, segala pasangan tua yang bersenda, segala orang seni yang mencurah inspirasi dan segala politikus yang penuh korupsi. Pernah, sedang dan akan berkelana di atas butir habuk yang tergantung di sebalik sinaran matahari.

Bumi yang dirasakan luas, hutan hujan yang dirasakan lebat, lautan biru yang dirasakan luas sejauh pandangan yang terlontar; hakikatnya hanyalah sekadar pentas kecil di dalam cakerawala. Sebutir habuk yang kian lama kian memudar. Sebutir habuk yang kian tersapu oleh arus masa.

Dan itupun masih ada sang penguasa yang tanpa silu dan ragu mencemarkan sungai itu dengan darah dan keringat untuk secebis detik gemilang. Gemilang di atas sebutir habuk.

Atas nama "keistimewaan" agama mereka, atas "keistimewaan" warna kulit mereka, atas betapa maju dan bertamadunnya mereka berbanding sekumpulan manusia yang lain. Di dalam kecelaruan itu, di dalam kealpaan ini; tiada pertolongan dari luar yang akan datang menyelamatkan kita melainkan kita sendiri.

Ilmu dan kesedaran boleh membuka mata kita untuk melihat realiti yang lebih jelik dan hodoh, di mana kita semua sama sahaja, iaitu kita takkan ke mana-mana melainkan terus hidup dan berhimpit di atas mutiara biru yang kian kelabu ini. Dan itulah yang sepatutnya menjadi sebab untuk kita terus berbuat baik sesama kita, melukis langit dengan ihsan dan kasih, dan memelihara segala yang pernah, sedang dan akan berada di atas habuk kosmik yang kita namakan bumi ini.

(Olahan dari petikan Pale Blue Dot oleh Carl Sagan)

Comments

Fikiran lalu