Anak itu bukan kain putih



Menurut bayangan di dalam minda aku, seorang anak itu adalah sekeping papan sudah tersedia warnanya yang tersendiri. Tetapi warna itu diselaputi satu lagi lapisan warna, yang berwarna hitam. Tugas kita pula sebagai orang dewasa yang melindungi dan membesarkannya, sekadar perlu mengikiskan selaput hitam tersebut agar warna gemilang yang tersembunyi itu terserlah indah.

Mereka sudah punya warna.

Dengan beranggapan anak itu selembar kain putih, ia hanya akan menimbulkan masalah kepada ibubapa itu sendiri bilamana mereka kecewa apabila anak itu tidak menjadi seperti mana apa yang ibubapa itu mahukan.

Berapa banyak sudah cerita-cerita yang kita dengari, anak yang tertekan apabila ibubapa mereka menentukan arah tuju kehidupannya. Disuruhnya untuk belajar Biologi untuk jadi doktor, walhal anak itu pandai melukis dan mahu jadi seakan Frida Kahlo. Disuruhnya pergi ke kelas piano, walhal anak itu suka benar dengan gitar dan mahu jadi seakan Jimmi Hendrix.

Hanya kerana anak itu masih kecil, kita tidak ambil peduli apa yang mereka fikir dan mahukan. Hanya kerana anak itu tidak boleh duduk diam menumpukan coretan di papan hitam, kita sudah mendiagnoskan dia ADHD; tanpa diketahui anak ADHD itu adalah seorang penari balet yang menunggu masa untuk diserlahkan keindahan tariannya.

Kita boleh ajar dan tunjukkan pada mereka bagaimana kita melihat dunia daripada jendela minda kita. Kita boleh pamerkan keindahan kepercayaan kita dan bagaimana ia memandu diri dalam menjalani kehidupan di dunia. Tetapi di akhirnya ia tetap terserah pada mereka sama ada mahu menerima atau menolak.

"Warna merah kau mungkin tak akan sama dengan warna merah aku"

Comments

Fikiran lalu