Novel 1984 : Bahasa



Selesai membaca novel George Orwell yang paling berpengaruh, iaitu 1984. Sepanjang perjalanan imaginasi aku dalam dunia distopia tahun 1984 itu, aku tidak pernah berhenti berfikir mengenai bahasa.

Ada apa dengan bahasa sebenarnya? Kenapa pihak pemerintah di dalam cerita ini sangat menekan penggunaan bahasa di kalangan warganya? Sehinggakan mereka telah mencipta satu sistem bahasa yang baru, dipanggil Newspeak. Olahan daripada bahasa Inggeris yang kita tahu, tetapi diubah dengan mengehadkan dan menghapuskan beberapa perkataan.

Sungguh, apa yang kau fikirkan tentang bahasa? Adakah sekadar alat untuk menyampaikan apa yang kau rasa, yang kau fikirkan?

Sekilas pandang, seolah-olah hanya manusia sahaja yang boleh bertutur dengan bahasa. Tetapi dikatakan spesis lain juga boleh berbahasa, cuma bukan dalam kerangka "bahasa" seperti yang kita faham. Dan ini adalah dakwaan yang memerlukan lebih banyak kajian dan penelitian.

Mungkin tidak salah jika aku mengatakan untuk memastikan sesuatu tamadun dapat berkembang, ia memerlukan satu corak pemikiran yang seragam. Untuk memastikan keseragaman pemikiran itu, ia memerlukan setiap aktor dalam tamadun tersebut untuk berkomunikasi. Maka, bahasalah yang memainkan peranan dalam memperhubungkan satu idea kepada satu idea yang lain. Bahasa membentuk corak pemikiran. Bahasa membantu seseorang untuk menyusun idea, pengalaman atau perasaan supaya ia dapat diterjemahkan dan disampai kepada orang lain. Sama ada untuk diterima, atau ditolak dengan hujah alternatif lalu melahirkan satu idea yang lebih segar dan baru. Dan semua ini hanya dapat dilakukan dengan kekayaan bahasa.


Comments

Fikiran lalu