Cinta atau tanggungjawab

Secawan Nescafe ais serta kehadiran dua sahabat berborak-borak dan entah bagaimana kami membincangkan hal cinta dalam perhubungan khususnya dalam perkahwinan.

Adakah kehadiran cinta itu perlu dalam perkahwinan? Aku merasakan ia perlu. Tetapi dua sahabat aku itu mengatakan yang penting adalah tanggungjawab. Dan cinta itu akan datang kemudian.

Aku mempersoal; maka di akhirnya nanti cinta yang akan hadir itu hanya kerana keterpaksaan. Satu ilusi. Ibarat satu kerusi yang sudah buruk, diselaputi sahaja dengan cat, diakhirnya cantiklah ia. Tetapi hakikatnya ia masih buruk di balik lapisan cat itu.

Itu pun kalau cinta itu hadir. Kalau tidak hadir juga bagaimana? Bukankah untuk terus melakukan sesuatu adalah kerana minat, suka atau cinta akan sesuatu perkara itu?

Bersama-sama memberi makan, bersama-sama menyediakan tempat tinggal, bersama-sama membuatkan rumah itu selesa, bersama-sama membesarkan anak; ya itu tidak dinafikan adalah tanggungjawab. Tetapi memberi pasangan itu sebab untuk senyum, sebab untuk ketawa, berjalan-jalan berpegang tangan di tepi pantai; adakah itu semua masih kerana 'tanggungjawab'?

Pada aku, cinta itu perlu diletakkan sebagai pemula. Ia perlu hadir dahulu. Barulah rasa kebertanggungjawaban itu akan hadir.

Aku memandang sikap tanggungjawab itu bersifat objektif. Satu matlamat. Ia tiada jiwa. Manakala cinta pula datangnya dari hati. Segala perkara yang dilakukan dengan hati  dan sepenuh perasaan, hasilnya akan indah.

Atau bagaimana?

Comments

Fikiran lalu